Lebaran telah tiba. Inilah saatnya untuk kita memperagakan pakaian tradisional secara lengkap dan penuh anggun sedondon bersama dengan keluarga tersayang. Tahun demi tahun, fesyen baju raya berevolusi dengan rekaan dan potongan yang semakin moden serta ditambah dengan pelbagai elemen baru. Namun Baju Melayu potongan klasik tetap menjadi pilihan.
Tahun ini walaupun kurta menjadi pilihan mereka yang ingin bergaya, tetapi ketika solat sunat Aidilfitri ramai yang menyarung Baju Melayu.
Masih ramai yang mahukan baju Melayu tradisional yang mengekalkan kesederhanaan disebalik rekaan baju yang moden dan hipster.
Baju Melayu Tradisional Menjadi Pilihan
Meskipun ramai yang mula memilih kurta dan jubah di pagi Syawal, ada yang masih mengekalkan budaya pemakaian baju Melayu tradisional. Koleksi yang dijual juga menggunakan fabrik pilihan lelaki iaitu satin, kapas dan kapas campuran bertekstur. Ini membuatkan pemakai selesa memakainya.
Di sebalik potongan yang klasik, pemilihan warna yang baharu kini menjadi pilihan. Kaum lelaki sekarang berani mencuba beberapa warna baharu untuk disesuaikan dengan mood perayaan.
Sebenarnya pemakaian baju tradisional lelaki ini ada falsafahnya yang tersendiri.
Setiap bahagian rekaan baju melayu mempunyai maksudnya yang tersirat. Menurut sejarahwan Azah Aziz, 5 butir butang pada cekak musang melambangkan 5 rukun Islam yang menjadi tuntutan bagi setiap umat.
6 pesak di bahagian kiri dan kanan baju pula mewakili 6 rukun Iman yang menjadi panduan umat Islam, manakala 3 buah poket di baju melambangkan 3 tuntutan dalam Islam iaitu Islam, Iman dan Ihsan. (Sumber : Sirap Limau).
Pemakaian busana tradisional bukanlah dianggap sebagai ketinggalan zaman namun melambangkan identiti budaya. Secara tidak langsung, tradisi sejak beratus tahun lamanya ini dapat diteruskan.
Walaupun semoden mana kita, identiti klasik harus dikekalkan.
INFO
Busana baju Melayu tidak lengkap tanpa pemakaian kain samping. Baju melayu cekak musang digayakan dengan samping dengan cara menyematkan baju kedalam manakala baju melayu teluk belanga digayakan dengan cara melepaskan baju di luar.
Tahukah anda cara pemakaian samping dapat melambangkan status si pemakai? Hal ini dapat dilihat berdasarkan labuh samping yang dipakai.
Jika si pemakai memakai samping di bawah lutut, itu bermaksud si pemakai sudah berkahwin manakala jika dipakai di atas lutut bermaksud lelaki tersebut masih bujang.
Leave a Reply